Rezeki Itu Milik Allah, Setiap Orang Rezekinya Lain-lain
Friday, January 10, 2020
Add Comment
Sembang Kejayaan - Pernah tak fikir pasal soal rezeki? Kenapa sudah usaha tapi belum dapat. Kenapa orang lain dapat kita tak dapat. Kadang kala terfikir soal rezeki macam tak adil.
Ramai yang menganggap rezeki itu datang hanya dalam bentuk duit. Sebenarnya tidak! Bukan hanya pada duit. Jangan tersilap! Ingat rezeki bukan hanya pada duit semata-mata. Kekadang kita terlupa,
Bahagia itu juga rezeki, hati yang tenang itu rezeki, keberkatan masa itu juga rezeki. Dapat kawan yang baik juga rezeki. Betapa banyaknya nikmat yang Allah beri kepada kita yang tak terhitung jumlahnya. Maka sentiasalah memanjatkan syukur ke hadratNya.
Kita perlu faham, setiap orang rezekinya lain-lain. Ada orang Allah bagi dia rezeki dari segi pekerjaan yang bagus, ada orang lebih bab belajar, ada orang lebih bab kehidupan. Lain orang lain rezeki dia. Jangan mempersoalkan. Belajar bersyukur dengan apa yang kita ada.
Setiap orang mempunyai rezeki masing-masing. Yang menjadi perbezaan hanyalah cepat atau lambat, sikit atau banyak. Jangan dengki, cemburu dan stress melihat kejayaan orang lain. Tak elok. Itu tanda kita tak bersyukur dengan rezeki yang Allah dah bagi.
[Baca Juga] Jangan dengki pada orang lain, setiap orang rezeki lain-lain
Aturan Allah adalah yang tersempurna untuk diri kita. Allah dah susun cantik dan atur elok-elok untuk kita. Percayalah bahawa perancangan Allah itu jauh lebih baik, rezeki kita telah dicatit olehNya.
Yakin dan percayalah bahawa rezeki itu milik Allah. Mungkin hari ini anda lihat kawan anda berjaya. Mungkin hari anda belum tiba. Zon masa kita semua tak sama.
Ada yang grad umur 23 tahun tapi lepas grad terpaksa tunggu 5 tahun sebelum dapat pekerjaan tetap. Ada yang grad umur 28 tahun tapi lepas grad terus dapat kerja tetap. Jadi tak perlu merasa kita tertinggal apabila melihat orang lain lebih berjaya daripada kita. Masa kita belum tiba. Bersabarlah dan teruskan berdoa kepada Allah.
Kehidupan ini bukanlah satu perlumbaan. Berlumba siapa nak jadi kaya, siapa nak jadi pandai. Ini adalah satu perjalanan. Penulis selalu pesan pada diri; whatever you do, just enjoy yourself, enjoy your journey, enjoy your life. Jangan bandingkan kita dengan orang lain.
Rezeki setiap orang lain-lain. Jangan bandingkan dan tak perlu nak mengeluh. Mengeluh hanya buatkan hidup kita jadi tertekan. Sedangkan bersyukur membawa kita kepada ketenangan.
Jangan Mengeluh! Selalu bersyukur dengan apa yang kita miliki. Kadang kita rasa tak pernah cukup. Tapi kalau kita bersyukur, kita akan merasa cukup. Hargailah, walau ianya sekecil zarah.
0 Response to "Rezeki Itu Milik Allah, Setiap Orang Rezekinya Lain-lain"
Post a Comment